KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan upacara perkahwinan mengikut agama dan pendaftaran perkahwinan sivil merupakan dua perkara berbeza yang perlu difahami masyarakat.
Menurutnya, setiap agama mempunyai upacara perkahwinan tersendiri yang dikendalikan oleh ketua agama masing-masing, termasuk Buddha, Kristian dan Hindu.
Bagaimanapun, beliau berkata, undang-undang negara turut menetapkan kewajipan mendaftarkan perkahwinan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
“Harus kita fahami dan hormati bahawa setiap agama mempunyai upacara perkahwinan masing-masing yang dikendalikan oleh ketua agama berkenaan, sama ada Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.
“Seterusnya undang-undang negara menetapkan kewajipan pendaftaran perkahwinan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Saifuddin Nasution menjelaskan, Menteri Dalam Negeri selaku menteri yang bertanggungjawab serta pegawai yang diberi kuasa boleh melaksanakan urusan pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat lebih cakna mengenai undang-undang perkahwinan sivil di Malaysia supaya tidak timbul salah faham yang boleh mencetuskan kegusaran dalam masyarakat.
“Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada semua pihak agar perkara ini tidak terus menimbulkan kekeliruan mahupun kegusaran dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, serta sentiasa hidup dalam suasana harmoni,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Saifuddin Nasution Ismail


