KUALA LUMPUR – Pengauditan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Financial Position Review (FPR) yang dilaksanakan oleh PwC merupakan dua penugasan yang berbeza dari segi objektif, skop dan mandat.
Memetik laporan Berita Harian, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dipetik berkata, pengauditan oleh JAN adalah audit statutori yang dijalankan mengikut Akta Audit 1957 serta piawaian ISA dan ISSAI.
Menurut beliau, FPR oleh PwC pula adalah penilaian khas berdasarkan ‘Terms of Reference’ yang ditetapkan pihak yang melantik mereka.
“Dalam isu rosot nilai misalnya, JAN mengaudit berdasarkan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) 139 yang berkuat kuasa ketika itu.
“Manakala PwC mengambil kira Financial Reporting Standards Implementation Committee (FRSIC) Consensus 14, yang menurut Malaysian Institute of Accountants bukan merupakan piawaian mandatori.
“Oleh itu, kedua-dua penugasan (oleh JAN dan PwC) tidak boleh dibandingkan secara langsung,” katanya.
Terdahulu, Madinah dilaporkan berasa terkilan kerana tidak dipanggil pada prosiding oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) walaupun beliau sedia memberi keterangan kepada panel siasatan itu.
Madinah yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara pada 2017 hingga 2019, mendedahkan yang beliau sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI TH itu berlangsung, tetapi namanya tidak dipanggil.
“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa ditetapkan di Jakim. Saya menunggu lebih dari 30 minit tetapi terkilan, akhirnya tidak dipanggil.
“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” katanya. – MYNEWSHUB


