KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam supaya mengelakkan perpecahan dan mengutamakan penyatuan, selain memanfaatkan saluran demokrasi serta pilihan raya untuk memilih kepimpinan yang berlandaskan prinsip keadilan, amanah dan petunjuk Allah SWT.
Menurut beliau, umat Islam perlu menggunakan hak demokrasi dengan penuh kesedaran dalam menentukan kepimpinan yang mampu membawa negara ke arah lebih baik.
“Dalam menghadapi cabaran hari ini, umat Islam perlu mengelakkan perpecahan dan mengutamakan penyatuan.
“Saluran demokrasi dan pilihan raya hendaklah dimanfaatkan dengan penuh kesedaran bagi memilih kepimpinan yang mampu membawa negara berlandaskan prinsip keadilan, amanah dan petunjuk Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Abdul Hadi berkata, perpaduan umat Islam merupakan asas penting dalam membina kekuatan ummah sekali gus menentukan masa depan negara.
Menurutnya, sejarah perjuangan Rasulullah SAW membuktikan bahawa umat yang bersatu atas dasar iman dan petunjuk Allah mampu membina masyarakat yang kuat, adil serta sejahtera.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam bukan sekadar agama yang mengatur ibadah individu, sebaliknya menjadi panduan dalam pemerintahan, pentadbiran dan kehidupan bermasyarakat.
Justeru, katanya, usaha mendaulatkan Islam memerlukan kepimpinan yang amanah, ulama berilmu dan berani menegur serta rakyat yang memahami tanggungjawab terhadap masa depan negara.
Abdul Hadi berharap usaha menyatukan ummah terus diperkukuh bagi mempertahankan kedudukan Islam, memelihara keharmonian masyarakat dan membina masa depan negara yang lebih baik. – MYNEWSHUB


