SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mendapatkan maklumat lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar sebuah premis penyembelihan ayam di Puchong yang disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan tidak mengikut hukum syarak.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat pemilik premis dan syarikat yang didaftarkan di alamat berkenaan daripada Pejabat Daerah dan Tanah.
Menurutnya, JAIS belum dapat mendedahkan identiti individu atau syarikat yang terlibat kerana maklumat sahih masih belum diperoleh.
“JAIS akan segera memaklumkan perkara ini selepas maklumat sahih diperoleh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan pada 30 Oktober lalu di sebuah premis di Lot 35, Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.
Operasi itu melibatkan JAIS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Jabatan Alam Sekitar.
Menurutnya, seramai 12 individu dipercayai pekerja warga Bangladesh dan Pakistan ditemukan ketika serbuan, namun tiada pekerja tempatan berada di premis berkenaan.
Pekerja terbabit dipercayai menyembelih ayam selepas haiwan itu mati akibat proses renjatan air berarus elektrik yang melebihi kadar voltan dibenarkan.
Pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai papan tanda atau maklumat perniagaan yang boleh dirujuk.
JAIS mengesahkan premis itu tidak mempunyai rekod permohonan pensijilan halal, tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan tidak pernah menerima Perakuan Penyembelih daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Berdasarkan maklumat individu yang ditangkap, operasi premis berkenaan didakwa dijalankan lebih daripada satu syarikat atau entiti.
JAIS turut mengingatkan pengusaha restoran dan penyedia makanan supaya mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal serta mematuhi tatacara sembelihan ditetapkan. – MYNEWSHUB
Sumber Into/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Jabatan Agama Islam Selangor – Rasmi


