JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan meneruskan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 5 dan 6 melibatkan 24 kategori bantuan dengan peruntukan keseluruhan RM190.9 juta yang bakal memanfaatkan lebih 679,000 penerima.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan menerusi Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ itu akan disalurkan secara berperingkat pada Disember 2026 dan Februari 2027.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan beban kos sara hidup Bangsa Johor, khususnya ketika masih ramai rakyat perlu berjimat untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.
“Atas sebab itulah, kerajaan negeri bertekad untuk terus memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan, khususnya anak yatim, keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah tidak bekerja,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Bantuan itu turut merangkumi golongan nelayan, pemandu teksi, e-hailing dan p-hailing, penjaja, peniaga kecil, mahasiswa anak Johor, penggerak syiar Islam, masyarakat Orang Asli, pekerja sokongan serta sukarelawan.
Onn Hafiz berkata, beliau sedar nilai bantuan yang diberikan mungkin tidak besar dan tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya segala beban ditanggung rakyat.
“Namun, saya amat berharap agar inisiatif ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat bersama-sama berdoa agar negeri Johor terus dilimpahi rezeki dan keberkatan Allah SWT supaya setiap nikmat dan hasil yang dikurniakan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu serta meningkatkan kesejahteraan seluruh Bangsa Johor. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


