KUANTAN – Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr Badli Shah Alauddin kecewa apabila ceramahnya yang menyentuh isu generasi ‘strawberi’ baru-baru ini dilaporkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)
Memetik laporan media, beliau mendedahkan perkara itu ketika menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Felda Kampung Sertik, Bentong, 18 Oktober lalu yang dikongsi menerusi rakaman video di saluran YouTube.
Melalui rakaman itu, beliau dipetik sebagai mendakwa telah diminta memberikan penjelasan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang dalam tempoh tiga hari.
“Saya tak ada nak cerita hal strawberi, saya jadi menyampah nak cerita. Tuan-tuan tahu, saya kena SISPAA tajuk tu? Saya kena jawab. Saya diberi masa tiga hari oleh pihak SUK untuk jawab, kenapa saya ceramah tajuk tu,” katanya.
Ceramah beliau menegur segelintir golongan muda yang disifatkan kurang berdaya tahan apabila berdepan tekanan, teguran dan cabaran dengan menggunakan istilah ‘strawberi’ tular di media sosial sebelum ini.
Dalam ceramah itu, beliau berkongsi pandangan seseorang perlu membina ketahanan diri dalam menghadapi kesukaran hidup dan tidak terlalu mudah berputus asa apabila berdepan cabaran. – MYNEWSHUB


