MELAKA – Pengasas parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan sambutan penduduk Pengkalan Batu terhadap program ceramah Trak Kancil malam tadi sebagai sesuatu yang amat memberangsangkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, kehadiran ramai penduduk yang meluangkan masa mendengar dan berinteraksi dengan pemimpin Bersama memberikan semangat kepada parti itu untuk meneruskan perjuangan politiknya.
Menurutnya, program berkenaan merupakan ceramah terakhir Bersama sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini, sekali gus menutup siri ceramah parti itu sebelum kempen rasmi PRN Melaka bermula.
“Dapat menutup siri ceramah ini dengan sambutan baik daripada penduduk setempat cukup memberi semangat kepada kami,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Rafizi turut mengakui Bersama masih sebuah parti kecil yang perlu bekerja keras untuk memperkenalkan diri serta mendapatkan kepercayaan masyarakat.
Katanya, banyak perkara masih perlu diusahakan dan dipelajari oleh parti itu, termasuk memahami pandangan serta keperluan penduduk setempat.
“Kami datang untuk memperkenalkan diri, mendengar pandangan, dan menawarkan apa yang dapat kami lakukan.
“Dengan kemampuan yang ada, kami akan berusaha memberikan yang terbaik. Kepercayaan orang ramai perlu dibina melalui kerja dan kesungguhan, sedikit demi sedikit,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan Bersama akan mengadakan satu lagi program di Melaka pada 30 Oktober ini bagi memperkenalkan bakal calon parti tersebut serta menyerahkan watikah pencalonan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Pengkalan Batu dan semua sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program Trak Kancil itu. – MYNEWSHUB


