PULAU PINANG – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer melahirkan rasa syukur kepada Tuhan susulan persetujuan pada dasarnya untuk membantu menempatkan semula Kuil Sri Maha Mariamman di Titi Timbul, Permatang Pauh ke tapak baharu berdekatan.
Rayer berkata, keputusan itu dicapai oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang pada Rabu membabitkan sebidang tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang diberikan kepada lembaga berkenaan.
“Hari ini pihak Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang bersyukur kepada Tuhan kerana bersetuju pada dasarnya untuk membantu menempatkan semula satu lagi kuil Hindu iaitu Kuil Sri Maha Mariamman di Titi Timbul, Permatang Pauh, Pulau Pinang ke sebuah tanah berdekatan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Rayer, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang turut bersetuju membantu pihak kuil dalam kerja pembinaan kuil baharu atau thirupani apabila pembangunan di tapak baharu berkenaan dimulakan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pesuruhjaya-pesuruhjaya lembaga yang terlibat dalam usaha tersebut termasuk ADUN Bagan Dalam, Calvin Krish; ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam; Pengerusi MIC Pulau Pinang, Dato Dhinagaran Jayabalan dan Dato Seri K. Kumarendran.
Rayer berkata, mereka bersama-sama mengadakan perbincangan serta memberikan pandangan dalam satu mesyuarat tergempar bersama pengerusi dan jawatankuasa kuil di pejabat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang di Jalan Macalister pada Rabu.
“Perpaduan kekuatan kita. Terima kasih semua,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial RSN Rayer


