MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyeru jentera parti supaya menolak politik fitnah, hasutan dan kebencian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau menegaskan, perjuangan politik perlu memberikan keutamaan kepada khidmat bakti dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita tolak politik hasutan. Kita tolak politik kebencian. Kita tolak politik jahat. Kita tolak politik fitnah.
“Apa yang kita mahukan ialah khidmat bakti dan tekad janji untuk berikan perkhidmatan terbaik ‘Demi Rakyat Untuk Rakyat’,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf memaklumkan beliau menghadiri Majlis Makan Malam Santai bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pengkalan Balak dan Sungai Baru Tengah di pekarangan Kedai Abah Shan, Air Hitam Darat, malam tadi.
Menurutnya, sambutan pemimpin akar umbi BN pada majlis berkenaan memberikan keyakinan bahawa jentera parti sudah bersedia menghadapi PRN Melaka.
“Melihat kepada sambutan pemimpin akar umbi Barisan Nasional malam ini, saya yakin jentera parti sudah bersedia untuk mengangkat panji-panji perjuangan pada PRN Melaka ke-16 ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera BN supaya menyusun strategi dan turun ke lapangan secara berpasukan di bawah konsep ‘BN Sayang Rakyat’.
Katanya, mandat yang diberikan rakyat perlu dibalas dengan komitmen melaksanakan tanggungjawab serta memberikan perkhidmatan terbaik.
“Bila kita mendapat mandat, kita komited laksanakan kerja dan berikan khidmat terbaik untuk rakyat. Jangan sesekali salah pilih pemimpin.
“Susun strategi dan turun ke lapangan secara berpasukan. Kita harus berpakat di bawah konsep BN Sayang Rakyat,” katanya.
Beliau turut menggunakan slogan ‘Kita Geng Biru’ dan ‘Melaka Sayang Rakyat’ dalam hantaran berkenaan. – MYNEWSHUB


