MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru rakyat Melaka supaya menilai kepimpinan berdasarkan rekod khidmat bakti, keikhlasan dan kesungguhan membela rakyat, bukannya terpengaruh dengan fitnah atau permainan persepsi politik.
Beliau berkata, rakyat Melaka cukup matang dan bijaksana untuk membuat penilaian secara terbuka berlandaskan fakta serta bukti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
“Kepada rakyat Negeri Melaka, saya dengan rendah diri menyeru agar setiap kepimpinan dinilai berdasarkan rekod khidmat bakti, keikhlasan dan kesungguhan membela rakyat.
“Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah, adu domba atau permainan persepsi politik.
“Saya percaya rakyat Melaka cukup matang dan bijaksana untuk membuat penilaian dengan hati yang terbuka, berlandaskan fakta dan bukti,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Onn Hafiz memaklumkan beliau menghadiri Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) bagi PRN Melaka ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.
Dalam hantaran sama, Onn Hafiz menyifatkan sambutan terhadap majlis tersebut sebagai petanda kebangkitan semangat ‘Gelombang Biru’ di Melaka.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon BN yang diumumkan serta menyatakan keyakinan mereka mampu menggalas amanah dan memperjuangkan aspirasi rakyat.
Pada masa sama, beliau mengajak seluruh jentera BN turun padang, memperkukuh kerjasama dan mendekati rakyat dengan semangat setiakawan serta kesatuan.
“Dengan semangat setiakawan, kesatuan dan keikhlasan, semoga segala usaha yang digerakkan dapat membawa kebaikan serta menjamin masa depan Melaka yang lebih stabil, maju dan sejahtera,” katanya.
Beliau mengakhiri hantaran dengan laungan, “Kita Gegau Melaka, Birukan Semuanya! Hidup BN! Hidup BN! Hidup BN!” – MYNEWSHUB


