KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji semangat peminat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tetap setia menyaksikan persembahan penyanyi tersohor itu meskipun hujan turun.
Anwar berkata, beliau sendiri berasa seronok dapat menikmati persembahan Siti menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara malam tadi yang disifatkannya cukup indah dalam mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.
Menurutnya, hujan yang turun tidak sedikit pun mematahkan semangat penonton untuk terus berada di lokasi konsert sehingga persembahan berakhir.
“Walaupun hujan turun, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan, hebat Dato’ Sri Siti, hebat juga semangat peminatnya,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Siti dan seluruh pasukan produksi atas kejayaan mempersembahkan sebuah konsert yang disifatkannya cukup istimewa dan penuh jiwa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kepentingan memelihara seni dan budaya sebagai sebahagian daripada identiti serta jati diri rakyat Malaysia.
“Saya sentiasa percaya seni dan budaya dekat di hati rakyat, justeru warisan ini mesti terus dihidupkan agar turut dinikmati dan dicintai generasi muda.
“Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,” katanya. – MYNEWSHUB


