KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mempersoalkan konsistensi dasar kerajaan berhubung penggunaan aplikasi navigasi Waze susulan keputusan melarang penggunaannya bagi urusan rasmi penjawat awam.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan merangkap Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Mike Chong Yew Chuan berkata, Perbadanan Putrajaya telah menjalinkan kerjasama dengan Google Waze melalui program Waze Connected Citizens sejak 2019 bagi pertukaran data trafik dua hala.
Katanya, kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pula menyediakan saluran rasmi yang membolehkan orang ramai menggunakan Waze untuk melaporkan jalan berlubang dan bencana.
“Jika Waze kini dianggap berisiko dari sudut keselamatan data, adakah kerajaan telah menilai semula kerjasama sedia ada ini? Apakah perubahan penilaian risiko yang membawa kepada keputusan tersebut, dan bagaimana data yang dikongsi sebelum ini dilindungi?” soalnya menerusi kenyataan.
Mike Chong berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan tentang pembangunan TuJu, aplikasi navigasi lebuh raya tempatan yang dibangunkan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat pembangun aplikasi.
Menurutnya, kerajaan wajar mendedahkan struktur kerjasama, kos pembangunan, proses pemilihan rakan pelaksana serta mekanisme pemantauan setakat yang dibenarkan undang-undang.
Mike Chong turut menyarankan kerajaan menerbitkan penilaian keselamatan siber dan perlindungan data yang menyokong keputusan melarang Waze bagi urusan rasmi, selain melaksanakan audit bebas terhadap pembangunan TuJu.
Katanya, pelaksanaan TuJu juga wajar dibuat secara berperingkat dengan ujian kebolehgunaan, ketepatan navigasi, kestabilan sistem dan keupayaan menangani pertambahan pengguna.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan asas kerajaan mengetengahkan TuJu sebagai alternatif sedangkan aplikasi itu masih memerlukan penambahbaikan.
Tegasnya, inovasi tempatan wajar disokong, namun mesti disertai bukti prestasi, tadbir urus yang baik dan perlindungan wang awam. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


