KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada orang ramai yang berdepan pelbagai masalah menggunakan aplikasi navigasi TuJu dengan menjelaskan keadaan itu berpunca akibat kelewatan syarikat memperkemas aplikasi berkenaan.
Memetik laporan media, beliau mengakui kelemahan itu boleh menimbulkan kesulitan kepada pengguna namun menegaskan perkara itu tidak seharusnya mengatasi kepentingan keselamatan negara.
Perdana Menteri mengaitkan langkah itu dengan pendirian tegas Malaysia menentang rejim Zionis Israel sambil mengingatkan kemungkinan tindakan kerajaan tersebut menerima kritikan.
“”Saya dapat pengakuan daripada Lembaga Lebuhraya (LLM) menyatakan TuJu ada kekurangan kerana aplikasi ini tidak lengkap. Betullah TuJu tu ada kekurangan tetapi buat sementara waktu, saya tidak mengerti kalau hal ini jadi kontroversi.
“Kontroversinya kerana lembabnya alternatif. Saya setuju, tetapi keputusan kita bukan kontroversi. Ini soal keselamatan negara. Aneh kalau orang masih menekan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, sebuah media melaporkan Perdana Menteri memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia.
Langkah itu mungkin dilakukan selepas kerajaan meneliti alternatif bagi menggantikan Waze termasuk keupayaan tempatan untuk membangunkan aplikasi seumpamanya yang mampu berfungsi dengan baik.
“Hal ini tak boleh nak tangguh, satu hari pun tak boleh. Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu. Saya kata dah sah kalau gunakan Waze, maknanya secara automatik dia menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi ini soal keselamatan rakyat dan negara, saya tidak boleh kompromi.
“Walaupun tidak canggih, tak apalah kita baiki. Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara, dan negara kepada Israel. Itu yang penting untuk difahami.
“Apa lagi kita ini di antara negara yang keras menentang rejim Zionis Israel yang kejam itu. Jadi, tentunya tindakan kita itu dipantau. Saya percaya lepas ini, semua pengaruh mereka akan digunakan untuk menghentam kita,” katanya. – MYNEWSHUB


