KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan mesti berterus terang mengenai kos pembangunan, proses tender terbuka serta pihak yang meluluskan aplikasi navigasi jalan raya TuJu milik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Bekas Menteri Kewangan merangkap Penasihat DAP, Lim Guan Eng turut mendakwa semakan terhadap barisan ahli lembaga pengarah syarikat yang membangunkan aplikasi itu mendapati beberapa individu mempunyai kaitan dengan parti-parti pembangkang.
Menurutnya, walaupun tiada salahnya ahli politik pembangkang memperoleh kontrak kerajaan, individu terbabit didakwa tidak mempunyai rekod prestasi atau kepakaran dalam teknologi, kejuruteraan perisian mahupun pembangunan aplikasi navigasi.
“Adakah proses tender terbuka yang sewajarnya dan usaha wajar (due diligence) telah dilaksanakan? Siapakah yang meluluskan aplikasi navigasi jalan raya TuJu yang gagal ini?” soalnya menerusi hantaran di media sosial.
Guan Eng berkata, kegagalan aplikasi berkenaan memalukan negara selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melarang penjawat awam menggunakan Waze dan menggantikannya dengan TuJu.
Beliau berkata, TuJu dilancarkan pada 26 November 2025 sebagai aplikasi navigasi lebuh raya tempatan selepas melalui proses pembangunan selama empat tahun sejak 2022.
“Timbul persoalan bagaimana Perdana Menteri boleh diperdaya sehingga mengesyorkan TuJu, sedangkan aplikasi tersebut paling tidak pun mempunyai pelbagai kelemahan, malah dalam keadaan paling buruk langsung tidak boleh digunakan,” katanya.
Guan Eng turut mempersoalkan jumlah sebenar wang awam yang dibelanjakan untuk pembangunan aplikasi berkenaan.
Katanya, kerajaan perlu memberikan penjelasan secara terbuka demi kepentingan awam serta memastikan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan semangat reformasi terus dipelihara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


