KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Kampar, Chong Zhemin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peranan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan percanggahan perbelanjaan berjumlah RM2.1 bilion melibatkan Program Jalan Luar Bandar di bawah kementerian itu.
Chong Zhemin berkata, beliau akan membuat laporan rasmi di pejabat SPRM Kuala Lumpur hari ini bagi meminta siasatan dijalankan terhadap perkara tersebut.
“Laporan rasmi itu kini telah dibuat. SPRM mesti menunaikan janjinya dan memulakan siasatan bebas,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Chong Zhemin mendakwa, berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan tahunan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
“Jika KKDW tidak berbelanja melebihi sumber kewangan yang tersedia, Zahid perlu menjelaskan mengapa kontraktor yang telah menyiapkan kerja tidak dibayar dan mengapa Kementerian Kewangan perlu menyediakan tambahan RM300 juta serta mencari penjimatan daripada kementerian lain,” katanya.
Chong Zhemin berkata, siasatan SPRM perlu menentukan sama ada kontrak atau komitmen kewangan dibuat sebelum pembiayaan mencukupi diluluskan secara sah, selain menyiasat kemungkinan penyalahgunaan kedudukan serta sebarang ketidakaturan dalam pemilihan kontraktor, pemberian kontrak, pengesahan pembayaran atau rekod kewangan.
Tambah beliau, sekiranya pembiayaan tambahan diperoleh menerusi pemindahan yang sah dalam peruntukan Parlimen sedia ada KKDW, dokumen berkaitan perlu dikemukakan bagi menjelaskan perkara tersebut.
“Jika jumlah perbelanjaan KKDW melebihi amaun yang dibenarkan Parlimen, pihak berkuasa perlu menjelaskan mengapa proses perlembagaan bagi perbelanjaan tambahan atau lebihan tidak diikuti,” katanya.
Chong Zhemin mendakwa, percanggahan perbelanjaan yang berulang, isu pembayaran kontraktor, pembiayaan tambahan serta pindaan yang belum dijelaskan memberi alasan mencukupi untuk SPRM menyiasat.
“Saya menggesa SPRM menentukan fakta tanpa takut atau pilih kasih. Jika terdapat bukti berlakunya kesalahan, tindakan mesti diambil tanpa mengira kedudukan atau status politik,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Chong Zhemin


