KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih dihantui kontroversi perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS), susulan pendedahan terbaru Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 mengenai kelewatan projek berkenaan.
Guan Eng berkata, laporan itu menunjukkan kemajuan Projek LCS lewat 7.55 peratus atau antara 30 hingga 108 hari setakat 25 Jun lalu, sekali gus membangkitkan semula persoalan mengenai projek yang bermula sejak 2011.
Menurutnya, projek membabitkan lima buah LCS bernilai RM11.22 bilion itu menyaksikan kerajaan telah membayar RM6.1 bilion, namun sehingga kini belum ada sebuah kapal berkenaan diserahkan.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan tempoh Ahmad Zahid menjadi Menteri Pertahanan, apabila bekas Presiden DAP itu membangkitkan semula nota tulisan tangan “SUB (Setiausaha Bahagian) Perolehan, sila laksanakan” pada sepucuk surat bertarikh 8 Julai 2010 daripada Boustead Naval Shipyard.
Menurut Guan Eng, surat berkenaan mengandungi permohonan mendapatkan mandat dan restu kerajaan bagi projek LCS, manakala nota tersebut didakwa ditulis Ahmad Zahid pada bahagian bucu surat berkenaan.
“‘Sila dilaksanakan’ Ahmad Zahid Hamidi masih dihantui oleh skandal pembelian lima buah LCS sebanyak RM11.22 bilion sejak 2011, di mana RM6.1 bilion dibayar oleh kerajaan tanpa penyerahan sebuah kapal LCS pun setakat ini,” dakwanya menerusi hantaran di media sosial.
Guan Eng berkata, LKAN turut menyatakan kelewatan projek berisiko menjejaskan penyerahan fizikal (PHO) LCS 1 yang pada asalnya dijadualkan pada 26 Ogos 2026 sebelum sasaran baharu ditetapkan pada 26 Disember ini.
Beliau turut membangkitkan isu kesiapsiagaan penuh Projek LCS yang menurut laporan itu bergantung kepada Kontrak Pelengkap yang hanya dijangka dapat disempurnakan pada Disember 2035, melangkaui tempoh akhir Kontrak Utama pada 25 April 2030.
Guan Eng berkata, tempoh yang begitu panjang turut menimbulkan persoalan sama ada teknologi digunakan pada kapal berkenaan berisiko menjadi usang apabila projek itu disempurnakan kelak, khususnya ketika teknologi persenjataan dan pertahanan berkembang dengan pantas. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


