KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery telah melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan.
Menurut MOF, proses penilaian pelaburan berkenaan turut melibatkan pengesahan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.
“Meskipun pelaburan berkenaan telah melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan, termasuk pengesahan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia pada ketika itu, eFishery kemudiannya didapati melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat.
“Beberapa pelabur institusi global utama turut terjejas akibat salah laku berkenaan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MOF menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai hasil semakan proses penilaian, risiko dan kelulusan pelaburan KWAP dalam eFishery, jumlah kerugian, pemulihan dana serta tindakan sekiranya terdapat kecuaian atau kelemahan tadbir urus.
Terdahulu, kementerian itu menjelaskan, jumlah sebenar pelaburan KWAP dalam eFishery adalah RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51 peratus pegangan saham sebagai pemegang saham minoriti.
Susulan pendedahan berkenaan, KWAP melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan termasuk maklumat yang tersedia sepanjang tempoh pelaburan.
Hasil semakan telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian terperinci dan tindakan susulan sewajarnya telah diambil mengikut rangka kerja tadbir urus serta prinsip akauntabiliti.
Bagaimanapun, jumlah kerugian muktamad dan nilai pelaburan yang dapat diperoleh semula belum dapat ditentukan kerana proses pemulihan masih berlangsung.
KWAP turut memperkukuh pendekatan pelaburan pasaran persendirian melalui kepelbagaian portfolio, kerjasama pengurus dana berpengalaman dan rakan strategik serta pemantauan lebih rapi bagi melindungi kepentingan dana dan pesara. – MYNEWSHUB


