JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan dengan Bank of America bagi membincangkan peluang kerjasama memperkukuh pelaburan antara Amerika Syarikat dan Johor, khususnya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau berkata, perbincangan itu memberi tumpuan kepada potensi Johor sebagai destinasi pelaburan strategik bagi syarikat antarabangsa yang berhasrat mengembangkan operasi di Asia Tenggara.
Menurutnya, pertemuan berkenaan turut membincangkan pandangan pelabur mengenai kesediaan infrastruktur, ketersediaan tenaga kerja mahir serta kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia, khususnya Johor.
“Saya turut menekankan komitmen kerajaan negeri untuk menarik pelaburan berkualiti yang bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Ia juga dapat meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan serta membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Onn Hafiz berkata, Bank of America sebagai institusi kewangan antarabangsa yang mempunyai rangkaian luas berpotensi memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelabur dengan peluang pelaburan di Johor.
Katanya, Johor turut terbuka untuk meneroka kerjasama menerusi penganjuran sesi taklimat pelaburan dan padanan perniagaan yang lebih bersasar.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa bagi memastikan pembangunan JS-SEZ memberikan manfaat menyeluruh kepada ekonomi negeri dan Bangsa Johor. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


