SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berharap Perpatih Fest 2026 terus berkembang sebagai acara warisan dan kebudayaan yang mampu menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata, penganjuran festival itu penting dalam usaha memperkenalkan keunikan Adat Perpatih, selain memelihara dan mengangkat warisan serta identiti Negeri Sembilan.
Menurutnya, usaha sedemikian juga dapat memastikan Adat Perpatih terus dihargai masyarakat dan menjadi antara kekuatan negeri itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan budaya.
“Saya berharap Perpatih Fest 2026 terus berkembang sebagai acara warisan dan kebudayaan yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Ismail menyempurnakan Majlis Perasmian Perpatih Fest 2026 yang berlangsung di Muzium Negeri Sembilan, di sini, pagi tadi.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang penganjuran festival berkenaan.
Antaranya termasuk penyediaan reruai daripada luak-luak di Negeri Sembilan serta penyertaan dari negeri-negeri lain.
Katanya, festival itu menjadi platform untuk mengetengahkan keistimewaan Adat Perpatih kepada masyarakat, di samping memperkukuh usaha pemeliharaan warisan negeri.
Penganjuran Perpatih Fest 2026 turut memperlihatkan komitmen untuk memastikan khazanah adat dan kebudayaan Negeri Sembilan terus dikenali serta dihargai oleh generasi akan datang. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Dato’ Ismail Bin Lasim


