KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini sebulat suara bersetuju mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan PAS serta rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat turut mengarahkan seluruh jentera dan penyokong parti memberikan sokongan padu kepada semua calon PN yang bakal bertanding pada PRN berkenaan.
Menurutnya, MKT juga bersetuju supaya Barisan Nasional (BN) dan PN melancarkan manifesto pilihan raya bersama.
“Manifesto pilihan raya bersama ini bagi menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat untuk meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dan pembangunan negeri oleh kerajaan negeri Melaka sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, MKT menyeru seluruh pimpinan dan jentera parti supaya mengamalkan kempen pilihan raya secara berhemah dan berakhlak.
Katanya, semua pihak perlu mengelakkan perbuatan memfitnah, mengeji atau memaki hamun parti lawan sepanjang tempoh berkempen.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat berkenaan turut menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan pembatalan projek berkepentingan rakyat.
Beliau berkata, gesaan itu terutama melibatkan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak termasuk pembinaan jalan serta penyediaan bekalan air dan elektrik luar bandar.
Dalam hantaran berasingan di media sosial, Asyraf Wajdi memaklumkan perjanjian persefahaman BN dengan PN telah dimeterai petang tadi.
“Alhamdulillah, petang tadi selesai pemeteraian perjanjian persefahaman antara BN dengan rakan strategik PAS yang mewakili parti-parti daripada PN bagi menghadapi PRN Melaka,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama berkenaan dapat memperkukuh semangat perpaduan ummah serta Gelombang Biru pada PRN Melaka kali ini.
“Moga semangat perpaduan ummah dan Gelombang Biru akan terus subur memugar di bumi Melaka pada pilihan raya umum negeri demi manfaat kemakmuran dan kestabilan negeri dan rakyat. Moga Allah merahmati usaha ini,” katanya. – MYNEWSHUB


