KUALA LUMPUR – Lorong belakang yang sebelum ini sunyi di Lorong Petaling 2 kini diberi nafas baharu apabila dijadikan ruang komuniti untuk orang ramai bertemu, bersantai dan menjalankan aktiviti bersama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Lorong Petaling 2 kembali hidup menerusi program Lepak Lorong: Bulan, yang merupakan inisiatif pertama digerakkan oleh komuniti setempat.
Menurutnya, program bersempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk hiasan tanglung, persembahan kebudayaan serta animasi imersif.
Turut diadakan adalah program Jom Tanglung bersama Merdeka 118, selain acara minum teh dan menikmati kuih bulan bersama penduduk serta komuniti setempat.
“Lorong pun boleh jadi tempat lepak, tempat berjumpa dan tempat kita berkongsi cerita,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Hannah berkata, beliau gembira melihat lorong belakang yang sebelum ini sunyi kini bertukar menjadi ruang yang lebih meriah, selamat dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, perubahan seperti itu menunjukkan bagaimana ruang bandar boleh dimanfaatkan dengan lebih baik apabila komuniti setempat sendiri mengambil peranan menghidupkannya.
“Inilah bandar yang kita mahukan, bila komuniti sendiri bekerjasama dan menghidupkan ruang mereka,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hannah Yeoh


