KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menambah baik syarat pelesenan pusat kecantikan dan kesihatan termasuk spa serta premis urutan di Kuala Lumpur bagi memudahkan pengusaha menjalankan perniagaan secara sah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurutnya, beliau mencadangkan penyelarasan seterusnya dipengerusikan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Penyelarasan itu turut melibatkan Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban serta agensi berkaitan.
Hannah Yeoh berkata, penglibatan pelbagai pihak penting supaya isu berkaitan pelesenan, penguatkuasaan, tenaga kerja dan keperluan industri dapat diteliti secara menyeluruh.
Pada masa sama, katanya, kerajaan mahu syarat pelesenan lebih mudah difahami pengusaha tanpa mengabaikan standard dan integriti.
“Proses mesti bersih dan tidak boleh ada ruang untuk rasuah atau bayaran tidak sah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Hannah Yeoh, kepakaran ITC juga penting memandangkan Kuala Lumpur menerima pelancong dari seluruh dunia khususnya pelancong muslim.
Katanya, aspek itu perlu diberi perhatian supaya industri kecantikan, spa dan urutan turut mengambil kira keperluan pasaran pelancongan mesra muslim.
Beliau berkata, matlamat kerajaan adalah memudahkan perniagaan yang sah, memastikan agensi kerajaan bergerak bersama serta menjaga imej Kuala Lumpur dan Malaysia. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hannah Yeoh


