SEREMBAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yakin kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan karam seperti kapal Titanic.
Beliau berkata, seperti kapal Titanic, mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun ahirnya karam akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan.
Hannah Yeoh meminta rakyat Negeri Sembilan tidak teruja melihat kerjasama BN-PN yang beliau dakwa dibayangi oleh mereka yang tidak setia kepada politik persahabatan.
“Mereka pun tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya. Yang mahu dijulang, hanyalah pucuk masing-masing. Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini.
“Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” dakwanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Hannah yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, kerjasama BN-PN tidak sama seperti kesetiaan Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH)
Menurut beliau, PH setia berjuang dan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 hari ini.
“Kami kekal dengan hanya seorang kapten dalam sebuah nakhoda. Memenangkan calon-calon PH adalah simbol kita mempertahankan nilai sebuah politik persahabatan.
“Ianya yang tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain PH. Kekalkan PH, akan kekallah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini. Percayalah,” dakwanya lagi. – MYNEWSHUB


