JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memandang serius insiden kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, insiden itu diberi perhatian serius terutama kerana melibatkan aspek keselamatan dan kebajikan murid di kawasan sekolah.
Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar terbabit.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
“Namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur-unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya melalui spekulasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Naqib berkata, sekolah mesti kekal sebagai tempat selamat untuk setiap anak Johor menimba ilmu, membina masa hadapan serta berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Katanya, Kerajaan Johor bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan agensi berkaitan akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat turut diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan, selain menyediakan sokongan kepada keluarga mangsa serta komuniti sekolah yang terkesan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati keluarga mangsa dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan teliti serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal mengenai kejadian itu.
Muhammad Naqib dalam masa sama merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan tersebut. – MYNEWSHUB


