JOHOR BAHRU – Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbangkan 10 unit meja banquet dan 50 unit kerusi kepada penduduk Kampung Orang Asli Bakar Batu bagi meningkatkan keselesaan kemudahan pembelajaran komuniti berkenaan.
Sumbangan yang disampaikan pada Selasa lalu itu bertujuan menyokong pelaksanaan kelas asas membaca, menulis dan mengira (3M) yang dijalankan di kawasan terbabit.
Menurut YSIJ, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan yayasan itu dalam memperkasakan kemudahan fasiliti komuniti, sekali gus memastikan sesi pembelajaran berlangsung dalam persekitaran lebih selesa dan kondusif.
Simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Marina Ibrahim kepada Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, YB Pannir Selvam.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Abdul Rashid Kasman; Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Johor Bahru, Amirul Abdul Razak dan Tok Batin Kampung Bakar Batu, Tok Kais Ki. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


