PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) Chery Omoda 5, sekali gus menangguhkan pendaftaran baharu model berkenaan susulan insiden tular membabitkan sebuah kenderaan itu di Johor Bahru, minggu lalu.
JPJ dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, tindakan tersebut merupakan langkah pencegahan awal selepas insiden berkenaan menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan kenderaan terbabit.
Menurut jabatan itu, penggantungan berkenaan akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat sehingga siasatan teknikal selesai serta risiko keselamatan dapat dikenal pasti.
“Sebagai langkah pencegahan awal, JPJ akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval – VTA) yang berkaitan, sekali gus menangguhkan pendaftaran baharu Chery Omoda 5 sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dapat dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, JPJ mengarahkan Chery Malaysia mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis (VIN) serta parameter teknikal berkaitan.
Menurut JPJ, pelaksanaan pemanggilan semula perlu dilakukan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi membolehkan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya dilaksanakan.
Selain itu, JPJ akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5, termasuk pembekal komponen gandar yang berkaitan.
Audit tersebut akan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP), sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.
JPJ turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut jabatan itu, pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan.
“Penggantungan ini hanya akan ditarik balik setelah semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta mendapat pengesahan teknikal daripada JPJ bahawa segala risiko keselamatan telah ditangani dengan sewajarnya,” menurut kenyataan tersebut. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia


