KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa TikTok Shop menangguhkan kenaikan kadar komisen bagi beberapa kategori produk yang dijadualkan berkuat kuasa pada 31 Oktober ini kerana dikhuatiri membebankan usahawan tempatan.
Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, kenaikan itu boleh menjejaskan keuntungan dan kelangsungan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil.
Menurutnya, komisen bagi penjual Marketplace yang menyertai program BXP dalam kategori penjagaan kulit meningkat daripada 10.80 peratus kepada 14.04 peratus.
“Walaupun terdapat kategori barangan keperluan asas yang menikmati pengurangan atau pengekalan kadar, DPMM berpandangan bahawa kesan kenaikan komisen terhadap usahawan tempatan, khususnya PMKS, tidak boleh dipandang ringan.
“Bagi perniagaan yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil, kenaikan komisen ini boleh memberi tekanan yang besar terhadap keuntungan dan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peniaga dalam talian turut menanggung caj transaksi, pengiklanan, komisen affiliate, logistik dan kos operasi harian.
DPMM juga bimbang peningkatan kos akhirnya memaksa peniaga menaikkan harga produk, sekali gus memindahkan beban kepada pengguna.
Sehubungan itu, Norsyahrin menggesa TikTok Shop menangguhkan pelaksanaan kadar baharu bagi membolehkan sesi libat urus bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta persatuan perniagaan diadakan.
DPMM turut mencadangkan ketelusan struktur komisen dan caj tambahan, selain tempoh notis munasabah sebelum sebarang perubahan dilaksanakan.
Persatuan itu juga mahu perlindungan lebih menyeluruh kepada PMKS melalui Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang baharu bagi memastikan amalan perniagaan adil antara platform dan penjual. – MYNEWSHUB


