JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan dakwaan yang mengaitkan Johor Corporation (JCorp) dengan kejadian kebakaran hutan di Indonesia adalah palsu dan mengelirukan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius laporan berhubung kejadian itu yang cuba dikaitkan dengan JCorp, sebuah institusi pelaburan milik kerajaan Johor.
Menurutnya, tiada pihak sepatutnya mengambil kesempatan memutarbelitkan fakta sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah JCorp terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Saya ingin menegaskan, jangan ada mana-mana pihak mengambil kesempatan memutar belit fakta sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah JCorp, sebuah institusi pelaburan milik Kerajaan Negeri Johor, terlibat dalam kejadian kebakaran hutan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Onn Hafiz berkata, JCorp menerusi kenyataan rasmi telah menjelaskan bahawa pihaknya dan syarikat dalam kumpulannya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
Katanya, Kulim (Malaysia) Berhad melalui anak syarikatnya telah melupuskan kepentingan dalam lima syarikat perladangan di Indonesia pada 2007.
Selain itu, Kulim turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi syarikat di Indonesia pada 6 Julai 2023.
“Justeru, dakwaan yang mengaitkan JCorp dengan pemilikan atau pengendalian operasi semasa syarikat-syarikat berkenaan serta kejadian kebakaran tersebut adalah palsu dan mengelirukan,” tegasnya.
Beliau berkata, semua pihak berhak menuntut ketelusan dan akauntabiliti, namun perkara itu perlu berlandaskan fakta serta bukti yang sahih.
Katanya, kerajaan Johor akan terus mempertahankan integriti, kredibiliti dan reputasi negeri daripada sebarang tuduhan yang tidak berasas. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


