KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan susulan isu tunggakan RM314 juta membabitkan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, selain membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan data peribadi pengguna Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, tunggakan hasil kutipan kerajaan itu dilaporkan melibatkan tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026, namun isu yang menurutnya lebih membimbangkan adalah dakwaan data peribadi jutaan pengguna masih berada dalam simpanan syarikat berkenaan walaupun perkhidmatan telah digantung.
Menurutnya, data terbabit didakwa merangkumi nama penuh, nombor MyKad, alamat rumah, nombor telefon dan e-mel, selain maklumat pemilikan kenderaan, nombor lesen, rekod saman serta transaksi dan resit pembayaran.
“Apabila sebuah syarikat dilihat sanggup menyekat cek RM231 juta milik kerajaan atas arahan sendiri masih dibenarkan memegang data sensitif ini, persoalan besar timbul: apakah jaminan data ini selamat?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan mendakwa keadaan itu boleh mendedahkan rakyat kepada risiko penipuan, pinjaman tidak wujud, ugutan dan penyalahgunaan maklumat sekiranya alamat serta nombor telefon jatuh ke tangan sindiket penipuan, ceti haram atau pihak pemasaran tidak sah.
Beliau turut membangkitkan risiko kecurian identiti apabila gabungan nama, nombor MyKad dan alamat boleh disalahgunakan untuk kegiatan jenayah, selain mendakwa pangkalan data berkaitan kenderaan serta alamat kediaman rakyat boleh menjadi ancaman keselamatan negara sekiranya jatuh ke tangan pihak luar.
Pada masa sama, Choo Seong mempersoalkan aspek pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), sambil mendakwa Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu memastikan data berkaitan dipulangkan atau dipadam selepas perkhidmatan berkenaan digantung.
Beliau mendakwa Anthony Loke setakat ini hanya menjelaskan mengenai 35 notis peringatan dan empat sesi libat urus bagi mendapatkan semula hasil kutipan, tetapi belum memberikan penjelasan memadai mengenai status serta keselamatan data peribadi pengguna.
“Menteri Pengangkutan bukan sahaja gagal menjaga wang rakyat, malah gagal menjaga
data peribadi rakyat,” dakwanya.
Sehubungan itu, Choo Seong mendesak Anthony meletakkan jawatan serta-merta dan menggesa sebuah suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat keseluruhan isu berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


