KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahaya menyifatkan gerak kerja ‘Ceplos’ sangat berbahaya kerana didakwa telah banyak merosakkan pemikiran rakyat menerusi penyebaran dakyah dan propaganda.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kontroversi membabitkan pemerhati politik, Eric See-To atau Lim Sian See berhubung penggunaan perkataan ‘lighad’ dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Zulkifli, kontroversi itu dipercayai berpunca daripada tindakan pihak tertentu yang didakwa menggabungkan petikan ayat al-Quran dengan komen Eric Lim sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah beliau sengaja mempersendakan ayat suci tersebut.
“Sebab tu, saya katakan bahawa gerak kerja Ceplos ini sangat merbahaya. Ceplos telah banyak merosakkan pemikiran rakyat dengan dakyah dan propaganda mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Zulkifli berkata, beliau kini tahu komen asal Eric Lim merujuk kepada perkataan ‘lighad’ yang digunakan Anwar dalam ucapan belanjawan, bukannya secara khusus kepada ayat al-Quran.
“Rupanya Eric LSS petik perkataan ‘lighad’ dari ucapan Bajet PMX, tak rujuk Al-Quran pun secara khusus.
“Ceplos yang buat design letak ayat Al-Quran lalu dikesampingkan dengan komen Eric, seolah-olah Eric sengaja memetik dari Al-Quran,” katanya.
Beliau turut berkata, Eric Lim membuat laporan polis berhubung tindakan yang didakwanya bertujuan memberikan gambaran salah terhadap komen asal berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zulkifli Yahaya



