KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkongsi penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu berhubung hukum bantuan untuk membayar denda bagi pihak yang disabitkan di mahkamah.
Anak kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menerusi hantaran di media sosial turut mengajak orang ramai khususnya pihak yang digelar sebagai ‘ceplos’ membaca penjelasan berkenaan.
“Mohon ceplos baca. Kalau rajin laa..” tulisnya sambil berkongsi pautan artikel bertajuk Hukum Pengutipan Derma Bagi Tujuan Pembayaran Denda.
Artikel Al-Kafi #2012 yang diterbitkan pada 28 Disember 2024 itu menjelaskan bahawa hukum membantu seseorang pada asasnya adalah harus, sama ada berbentuk fizikal mahupun material.
Bagaimanapun, bantuan boleh menjadi haram sekiranya bertujuan menggalakkan seseorang mengulangi kesalahan yang dilakukannya.
Menurut penjelasan itu, seseorang dibenarkan membantu membayar denda atau saman yang dikenakan mahkamah selagi sumbangan tersebut tidak bertujuan menyokong perbuatan salah.
Pemberi sumbangan juga hendaklah memastikan individu yang dibantu telah menginsafi kesalahannya supaya bantuan berkenaan tidak menyebabkan kesalahan sama berulang.
Sebaliknya, sekiranya sumbangan diberikan dengan tujuan mendorong pelaku mengulangi kesalahan, hukumnya adalah haram.
Penjelasan itu turut merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang melarang umat Islam bekerjasama melakukan dosa dan pencerobohan.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merumuskan bahawa bantuan membayar denda dibolehkan dengan dua syarat utama.
Pertama, individu yang melakukan kesalahan telah menginsafi perbuatannya dan kedua, sumbangan diberikan bagi tujuan ganti rugi, bukannya menyokong kesalahan tersebut.
Jawapan itu merujuk kepada soalan pandangan berkenaan isu hukum minta kutipan derma untuk bayar saman fitnah. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nik Mohamad Abduh/Laman Web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan


