KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Eric Lim Sian See terus mempertahankan dirinya daripada dakwaan menghina dan memperlekeh ayat suci al-Quran susulan komen beliau mengenai penggunaan perkataan ‘Lighad’ dalam ucapan Belanjawan 2027.
Menerusi hantaran terbaharu di media sosial, Eric Lim menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak meletakkan sebarang petikan ayat al-Quran bersama komen asalnya, sebaliknya mendakwa petikan berkenaan ditambah oleh pihak lain sebelum disebarkan sehingga menimbulkan salah faham.
Menurutnya, ketika menulis komen tersebut, beliau langsung tidak mengetahui bahawa perkataan berkenaan turut terdapat dalam al-Quran kerana ulasannya hanya berdasarkan maksud yang diberikan oleh sebuah akhbar.
“Ketika menulis komen itu, saya langsung tidak tahu perkataan tersebut ada dalam al-Quran. Saya mengulas perkataan berdasarkan maksud yang diberikan oleh Sinar Harian dan menyindir ahli politik. Saya tidak meletakkan petikan ayat al-Quran bersama komen itu,” tegasnya.
Eric Lin menjelaskan, komen asalnya dibuat di bawah hantaran yang menyenaraikan beberapa perkataan unik digunakan dalam ucapan Belanjawan 2027.
Katanya, beliau merujuk kepada grafik media yang memberikan maksud perkataan ‘Lighad’ sebagai ‘untuk masa depan’, iaitu ungkapan yang menurutnya digunakan secara umum dalam bahasa Arab.
Bagaimanapun, beliau mendakwa petikan ayat al-Quran kemudiannya ditambah oleh pihak tertentu yang beliau gelar sebagai Ceplos sebelum digabungkan dengan tangkap layar komen asalnya.
“Petikan (ayat al-Quran) tersebut ditambah oleh Ceplos, kemudian digabungkan dengan tangkap layar komen saya dan disiarkan di page mereka. Bukan saya yang menyusun atau menyiarkan gabungan itu,” jelasnya.
Menurut Eric Lim, tindakan menyebarkan gambar gabungan berkenaan tanpa konteks asal boleh menyebabkan orang ramai mendapat gambaran seolah-olah beliau sedang mengulas atau mempersendakan ayat al-Quran yang dipaparkan bersama komennya.
Tegasnya, gambaran sedemikian tidak mencerminkan konteks sebenar komen yang dibuat.
“Apabila gambar gabungan ini dikongsi tanpa konteks asal, orang boleh mendapat gambaran seolah-olah saya sedang memberi komen terhadap ayat al-Quran yang diletakkan di atasnya. Itu bukan konteks komen asal saya,” katanya.
Dalam masa sama, Eric Lim menegaskan beliau tidak mempunyai masalah sekiranya orang ramai mahu mengkritik sindiran politiknya, namun membantah tindakan menggunakan susunan gambar yang didakwa dihasilkan pihak lain sebagai asas menuduhnya menghina al-Quran.
“Nak kritik sindiran saya, silakan. Tetapi jangan gunakan susunan gambar yang dibuat pihak lain untuk menuduh saya menghina al-Quran,” katanya.
Beliau turut menyelar tindakan pihak tertentu khususnya individu yang mempunyai pengaruh serta pengikut ramai kerana didakwanya terlalu cepat menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dahulu menyemak fakta dan konteks asal.
“Semak dahulu sebelum menghukum, bukan terus menghentam kemudian baru cari cerita sebenar,” tegasnya.
Sehubungan itu, Eric Lim meminta pihak yang telah menyebarkan tuduhan berkenaan supaya memperbetulkan gambaran tersebut serta menjelaskan konteks sebenar kepada pengikut masing-masing.
“Jangan ada sikap terus menuduh tanpa semak fakta dan konteks asal terlebih dahulu,” katanya.
Kontroversi itu tercetus susulan komen Eric Lim mengenai penggunaan perkataan ‘Lighad’ dalam ucapan Belanjawan 2027 yang didakwa beberapa pihak menyentuh kesucian ayat al-Quran.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali dilaporkan menyatakan hasrat untuk membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta platform media sosial berhubung komen berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengecam Eric Lim dengan Muhamad Akmal Saleh menyatakan tindakan membuat laporan polis akan diambil susulan kontroversi tersebut.
Bagaimanapun, Eric Lim kekal dengan pendiriannya bahawa komen asal beliau merupakan sindiran terhadap penggunaan perkataan dalam ucapan politik dan bukannya bertujuan menghina atau memperlekeh ayat suci al-Quran. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See



