KUALA LUMPUR – Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menyindir sama ada terdapat formula baharu dalam dunia perniagaan iaitu sebarang kerugian dianggap ‘sakau’
Menurut beliau, kerugian adalah fakta kewangan kerana perniagaan mempunyai potensi keuntungan dan pada masa yang sama mempunyai risiko kerugian, manakala korupsi adalah tuduhan yang memerlukan bukti.
“Sebab itu, kerugian tidak boleh secara automatik disamakan dengan rasuah atau penyelewengan. Justeru, jangan melihat angka kerugian lalu terus melabelkannya sebagai ‘sakau’
“Keadilan menuntut kita menggunakan neraca yang sama kepada semua, tanpa mengira siapa yang kita sokong atau tentang,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Terdahulu, Fathul Bari mengucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Pendidikan kerajaan Pakatan Harapan (PH 1.0), Dr Maszlee Malik kerana menjelaskan fakta berhubung kerugian terkumpul RM157 juta UiTM Holdings.
Menurutnya, berdasarkan penjelasan Maszlee, kerugian berkenaan bukan berlaku dalam satu-satu tahun atau di bawah satu pentadbiran sahaja, sebaliknya melibatkan tahun 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Beliau berkata, pada 2017 ketika Kementerian Pendidikan diterajui Datuk Seri Idris Jusoh di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN),kerugian dicatatkan sebanyak RM66.14 juta.
Bagi tempoh 2018 hingga 2019 ketika Maszlee menjadi Menteri Pendidikan dalam pentadbiran PH, jumlah kerugian pula adalah RM76.60 juta, manakala pada 2021 ketika kementerian diterajui Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kerugian dicatatkan sebanyak RM14.31 juta.
Fathul Bari berkata, berdasarkan angka itu, kerugian terbesar berlaku bagi tempoh 2018 hingga 2019, namun ia tidak bermakna Maszlee atau pentadbiran PH boleh secara automatik dituduh melakukan rasuah.
“Jika logiknya ‘syarikat rugi ketika seseorang menjadi Menteri/Pengerusi = Menteri/Pengerusi itu korup’, maka logik yang sama perlu dikenakan kepada semua.
“Malah, berdasarkan angka tersebut, jumlah kerugian 2018-2019 adalah yang terbesar. Adakah itu dengan sendirinya membuktikan Dr Maszlee Malik atau PH paling korup? Sudah tentu tidak,” katanya.
Beliau menegaskan, kerugian sesebuah syarikat boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk risiko perniagaan, keputusan pelaburan yang tidak menjadi, kelemahan pengurusan atau tadbir urus serta kemungkinan berlakunya penyelewengan.
“Kalau keputusan perniagaan salah, nilai proses keputusannya. Kalau berlaku kecuaian, tentukan pihak yang bertanggungjawab. Kalau ada rasuah, siasat, buktikan dan ambil tindakan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Dr. Fathul Bari


