KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada seorang pemimpin yang pernah dicanangkan sebagai ‘Menteri Kewangan Terbaik Asia’ boleh diperdaya dengan mudah berhubung keupayaan aplikasi navigasi tempatan TuJu menggantikan Waze.
Beliau membangkitkan persoalan itu menerusi hantaran di media sosial susulan kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberikan nasihat salah mengenai kemampuan teknologi aplikasi berkenaan.
“Soalan saya, adakah seorang yang dicanangkan sebagai ‘Menteri Kewangan Terbaik Asia’ boleh ditipu dengan mudah Adakah ini kali pertama ditipu atau sudah ditipu berkali-kali dalam urus tadbir negara?” soalnya.
Terdahulu, Guan Eng dilaporkan mempersoalkan kos ditanggung kerajaan membangunkan TuJu selain menggesa Anwar memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Guan Eng berpandangan individu yang bertanggungjawab meyakinkan Perdana Menteri bahawa TuJu mempunyai keupayaan teknologi mencukupi untuk menggantikan Waze wajar dipersalahkan.
Dalam hantaran berasingan, Ahmad Fadhli turut mengingatkan kerajaan memastikan TuJu benar-benar bersedia, stabil dan berkesan sebelum menggalakkan rakyat menggunakannya.
Menurutnya, aspek ketepatan navigasi, maklumat trafik masa nyata, keselamatan data dan kemudahan pengguna perlu diuji secara menyeluruh.
“Janganlah pengumuman dibuat dengan begitu gah, tetapi akhirnya rakyat berdepan pelbagai kelemahan teknikal seperti kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Avatar AI,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan sepatutnya memastikan sesuatu produk benar-benar berfungsi dengan baik sebelum mempromosikannya secara besar-besaran. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


