KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari meminta Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan jika terdapat ‘undertaking’, jaminan atau komitmen kewangan kerajaan bagi membantu penstrukturan dan pembiayaan semula hutang AirAsia.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau menegaskan, semua pihak memahami kepentingan AirAsia dalam ekosistem penerbangan Malaysia dan rantau ini, namun itu tidak boleh menjadi alasan untuk sebarang komitmen kerajaan dibuat tanpa penjelasan kepada rakyat.
“Isunya bukan sama ada AirAsia patut dibantu atau dibiarkan menghadapi masalah sendirian. Persoalannya ialah bentuk bantuan itu dan siapa akhirnya menanggung risikonya.
“Jika MOF sekadar memudah cara mendapatkan pembiayaan dan pelabur, nyatakan dengan jelas; jika terdapat undertaking, jaminan atau komitmen kewangan kerajaan, bentuk dan hadnya juga perlu dijelaskan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Fadhli berkata, AirAsia dilaporkan sedang mendapatkan sehingga US$1 bilion pembiayaan antarabangsa, selain RM700 juta kemudahan kredit tempatan, terutama bagi tujuan penstrukturan dan pembiayaan semula hutang.
Menurut beliau, kini timbul laporan bahawa MOF turut menyokong usaha tersebut dan kemungkinan terdapat undertaking atau suatu bentuk jaminan kerajaan.
“Sidang Dewan Rakyat bermula pada 5 Oktober, manakala Belanjawan 2027 akan dibentangkan pada 9 Oktober. MOF patut mengambil kesempatan sidang minggu depan untuk menjelaskan perkara ini secara terbuka dan telus.
“Kepentingan AirAsia kepada ekonomi perlu diberi perhatian, tetapi ketelusan terhadap sebarang risiko yang mungkin ditanggung kerajaan juga tidak boleh dikompromikan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari



