KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melunaskan denda berjumlah RM50 juta untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itumenjalani baki tahanan di rumah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan tabung berkenaan dibuat susulan perkembangan terkini membabitkan Najib.
Menurutnya, inisiatif itu dizahirkan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti keluarga UMNO serta rakyat Malaysia yang mahu memberikan sokongan kepada Najib.
Kata beliau, sumbangan kepada Tabung Solidariti Najib Razak boleh disalurkan melalui akaun bank CIMB Islamic milik PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (UMNO) dengan nombor akaun 8604886094.
“Susulan perkembangan terkini, Ibu Pejabat UMNO memulakan langkah melaksanakan inisiatif YAB Presiden untuk melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf Wajdi berkata, kepimpinan dan ahli UMNO serta masyarakat yang mahu menyertai inisiatif berkenaan dijemput memberikan sumbangan secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan, sokongan dan keikhlasan mereka yang mahu bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan.
Pelancaran tabung itu menyusuli pengumuman Presiden UMNO sebelum ini mengenai inisiatif kutipan sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta.
Terdahulu, Najib diperkenan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 menerusi pengampunan bersyarat yang antara lain tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. – MYNEWSHUB


