PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi menetapkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah kementerian itu.
KPM dalam kenyataan bertarikh 21 September berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan sesi perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut KPM, sebelum ini syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera terpakai kepada IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad.
Ketetapan tersebut dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada 2006.
Bagaimanapun, selepas mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan dan mengadakan perbincangan dengan MITI, KPM bersetuju supaya ketetapan berkenaan tidak lagi dijadikan syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian.
“Penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam bidang pendidikan terus terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara,” kata KPM.
Pada masa sama, kementerian menghargai sumbangan semua pengusaha IPS dan memberi komitmen untuk terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia. – MYNEWSHUB


