KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan secara proaktif serta berteraskan keselamatan kanak-kanak dalam menangani ancaman anjing liar dan agresif.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suhakam berkata, gesaan itu susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang diserang lima ekor anjing berkeliaran di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini sehingga mengalami kecederaan serius.
Suhakam menegaskan kejadian berkenaan tidak boleh dianggap sebagai insiden terpencil kerana berdasarkan laporan media yang diteliti, sekurang-kurangnya lapan kes serius melibatkan kanak-kanak diserang atau digigit anjing berkeliaran atau anjing liar dilaporkan sejak 2023, termasuk kes yang mengakibatkan kematian.
“Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, bermain, berjalan dan pergi ke sekolah dalam persekitaran yang secara munasabah selamat daripada risiko yang boleh dijangka dan dicegah,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Suhakam menggesa perubahan asas daripada pendekatan reaktif selepas berlakunya tragedi kepada langkah pencegahan secara proaktif sebelum kanak-kanak menjadi mangsa.
Antara langkah dicadangkan ialah PBT mengenal pasti kawasan panas anjing berkeliaran khususnya berhampiran sekolah, Taska, tadika, taman permainan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), perumahan pangsapuri, kawasan perumahan, laluan pejalan kaki dan berbasikal ke sekolah serta lokasi yang kerap menerima aduan.
Suhakam turut menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri bekerjasama dengan PBT dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi menetapkan piawaian tindak balas lebih jelas dan berasaskan risiko.
Ia termasuk memberi keutamaan kepada aduan melibatkan kumpulan anjing atau anjing agresif, menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme tindakan susulan yang jelas serta melaksanakan operasi PBT-DVS secara proaktif dan bersepadu tanpa menunggu serangan serius berlaku.
Selain itu, Suhakam mahu pengumpulan data nasional mengenai serangan haiwan melibatkan kanak-kanak diperkukuh, selain pengurusan populasi dan risiko secara jangka panjang menerusi pemilikan bertanggungjawab, pendaftaran dan pelesenan, pencegahan pembuangan haiwan, pensterilan berasaskan bukti serta pengurusan sisa dan sumber makanan.
Suhakam pada masa sama menegaskan usaha melindungi kanak-kanak tidak bermakna kebajikan haiwan harus diabaikan, sebaliknya pengurusan haiwan berkesan perlu mengambil kira keselamatan kanak-kanak, perikemanusiaan, profesionalisme dan pematuhan undang-undang.
“Kanak-kanak kecil tidak seharusnya terpaksa mengelak daripada bermain di luar rumah, menggunakan taman permainan atau pergi ke sekolah hanya kerana wujud risiko yang boleh dijangka akibat anjing berkeliaran.
“Apabila sesuatu bahaya kepada kanak-kanak telah diketahui dan secara munasabah boleh dicegah, kita tidak boleh menunggu sehingga berlaku satu lagi tragedi sebelum bertindak,” tegas Suhakam.
Justeru, Suhakam menggesa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan se8mua PBT bertindak sekarang dan bukan selepas seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan serius, dengan keselamatan kanak-kanak diperkukuh menerusi pencegahan, kesiapsiagaan serta tindakan segera. – MYNEWSHUB


