KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan pelantikan pelawak dan penggiat seni, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, sebagai pengajar sambilan bagi Kursus Citra Universiti.
Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UKM, Shahrol dilantik di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) bagi Kelas Seni Lakon yang memberi pengkhususan kepada stand-up comedy.
UKM berkata, menerusi pelantikan berkenaan, Shahrol hanya akan memberikan latihan berbentuk amali dan praktikal kepada pelajar tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman Shahrol sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam beberapa bidang termasuk lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.
Menurut UKM, Kursus Citra Seni Lakon merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar universiti berkenaan bagi memberi pendedahan serta pengalaman dalam bidang seni persembahan.
Kursus itu khususnya memberi tumpuan kepada aspek asas lakonan dan persembahan sebagai sebahagian daripada pembelajaran pelajar.
UKM turut menjelaskan FPSC merupakan fakulti yang memberi tumpuan kepada pengajian transdisiplin, merangkumi pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.
Semalam, Shahrol Shiro menyatakan beliau menyambut baik tawaran UKM sebagai salah seorang tenaga pengajar kursus citra universiti sesi 2026/2027.
“Komedi memerlukan keberanian serta
keyakinan individu berdiri diatas pentas yang diadun bersama kemahiran komunikasi yang sangat baik.
“Kemahiran ini sangat diperlukan hari ini yang menjadi asas dalam menyampaikan mesej memandangkan waktu fokus generasi hari ini sangat singkat.
“Semoga komedi beredukasi ini dapat membantu perjalanan di lapangan kelak. Jumpa nanti ya adik adik UKM,” katanya. – MYNEWSHUB


