KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis politik Barisan Nasional (BN), Shahrol Shiro mengungkit kembali kenyataan lama Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki yang pernah menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Menerusi rakaman video di media sosial, Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi mempersoalkan tindakan Afdlin menghasilkan satira politik berhubung isu penangguhan pelaksanaan tahanan rumah Najib.
“Abang Afdlin Shauki, bukan main bersatira politik lagi tentang isu penangguhan tahanan rumah Datuk Seri Najib. Bukan main bedal lagi.
“Dulu masa orang itu berkuasa, Abang Afdlin Shauki lah yang mempercayai usaha-usaha Datuk Seri Najib melakukan transformasi. Abang lah konon-kononnya penyokong nombor satu beliau. Masa berkuasa, bila tak berkuasa, macam ini jadinya,” katanya.
Shahrol turut menyelitkan rakaman video lama Afdlin yang menyatakan keyakinannya terhadap usaha transformasi dilaksanakan Najib ketika menerajui pentadbiran negara.
“Dengan terang-terang dan jelas menunjukkan yang sokongan saya ini adalah kerana saya percaya tentang apa yang sedang diusahakan oleh Datuk Seri Najib,” kata Afdlin menerusi rakaman berkenaan.
Mengulas lanjut, Shahrol menyindir bahawa satira politik Afdlin mungkin dianggap lucu oleh beliau dan rakan-rakannya, namun menggesa pelakon itu meneliti perenggan keempat titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat Najib.
Beliau memetik kenyataan bahawa perintah berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.
“Cuba perhatikan dan fahami perkataan tanpa sebarang ambiguiti. Kalau istana dah menyatakan bahawa titah tersebut jelas dan tidak mempunyai kekaburan, jadi atas asas apa juga Abang Afdlin nak mengeluarkan satira politik seperti itu,” soalnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Shahrol Azizie Azmi


