KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyindir perkembangan berhubung peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang disifatkannya sebagai ‘drama’ berpanjangan.
Menerusi hantaran di media sosial, Mohd Zaid berkata, beliau sudah penat mengikuti berita mengenai isu berkenaan yang menurutnya tidak berkesudahan.
“Saya penat dengan berita yang tidak berkesudahan mengenai ‘drama peletakan jawatan’ Anthony Loke,” katanya.
Mohd Zaid turut membangkitkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dengan mendakwa seseorang menteri boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dan perkara itu tidak bergantung kepada penerimaan Perdana Menteri.
Justeru, beliau secara sinis meminta polemik berkenaan dihentikan dan orang ramai disajikan dengan berita lain pada hujung minggu.
“Jadi hentikan drama ini; kita perlukan berita sebenar untuk hujung minggu,” katanya.
Terdahulu, media hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau masih menunggu surat peletakan jawatan daripada Loke yang juga Setiausaha Agung DAP.
“Tunggu surat,” kata Anwar ringkas ketika diminta mengulas perkembangan berhubung perkara tersebut.
Isu itu mendapat perhatian selepas Anthony Loke sebelum ini dilaporkan menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Datuk Zaid Ibrahim


