KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak wajar digambarkan sebagai tindakan ‘mengatasi undang-undang’
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam tiada sesiapa mengatasi undang-undang susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan kerana tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan semua pihak turut tertakluk kepada peruntukannya.
Azalina berkata, kuasa pengampunan bukanlah kuasa di luar undang-undang, sebaliknya diperuntukkan secara nyata menerusi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, katanya, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong selain menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.
Justeru, beliau berpandangan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan tidak seharusnya digambarkan sebagai tindakan mengatasi undang-undang.
Azalina turut menjelaskan keputusan kehakiman dan proses pengampunan merupakan dua perkara berbeza, dengan mahkamah menjalankan fungsi kehakiman bagi menentukan kesalahan dan hukuman, manakala Perkara 42 menyediakan mekanisme perlembagaan berkaitan pengampunan, penangguhan atau peringanan hukuman.
Katanya, kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermaksud keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang.
Beliau turut menegaskan setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan Perlembagaan, manakala peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan menteri berkaitan perlu dilihat berdasarkan Perkara 42 serta prosedur ditetapkan dan bukan melalui tafsiran atau persepsi politik.
Azalina berkata, pendiriannya sebagai Ketua Penerangan UMNO adalah untuk menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan serta proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Beliau turut menegaskan sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan perlu dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta serta proses sebenar dan bukan sekadar kenyataan politik.
“Tiada siapa mengatasi undang-undang. Dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan,” katanya. – MYNEWSHUB


