SAHABAT orang Melaka kata Penyatuan Ummah bukan payah ‘benau’. UMNO dan PAS umum sahaja jalin kerjasama politik, maka terjadilah Penyatuan Ummah.
Begitu adalah lebih mudah supaya umat Islam di negara ini mendapat satu kepastian untuk keluar mengundi tanpa was-was apabila tiba masanya.
Dengan demikian, kata sahabat Melaka lagi, para pengundi Melayu tidak perlu berat hendak memilih antara yang dua kerana sudah tahu dua itu adalah undi yang sama.
Bak kata orang Melaka: “Political psychology is an interdisciplinary academic field that applies psychological theories to understand political behavior, politicians, and political events.”
Untuk menjadikan Penyatuan Ummah itu lebih mudah, kedua-dua parti perlu sanggup berkongsi dan mengagihkan kerusi yang ditandingi dengan persefahaman yang nyata.
Tidak perlu tamak-tamak kerana falsafah utamanya adalah setiap kemenangan milik UMNO dan PAS bersama seluruh umat Islam.
Selepas menang, pilihlah dalam kalangan kamu yang benar-benar layak untuk menjadi pemimpin negara secara adil, tepat dan saksama kerana yang penting adalah masa depan rakyat.
Kalau masih sibuk berkira siapa dapat kerusi lebih, siapa lebih besar dan siapa perlu tunduk kepada siapa, sampai bila pun Penyatuan Ummah hanya sedap disebut di pentas ceramah.
Politik bukan pertandingan siapa paling lama boleh bermasam muka. Kadang-kadang keberanian sebenar bukan menewaskan kawan sendiri, tetapi mengetepikan ego, duduk semeja dan mencari jalan supaya kekuatan yang ada tidak terus berpecah.
Kalau benar matlamatnya demi agama, bangsa, rakyat dan negara, buktikan dengan tindakan.
Jangan tunggu kalah baru hendak berbincang dan jangan tunggu hilang kuasa baru teringat pentingnya bersatu.
Bak kata orang Melaka lagi, kalau sudah tahu jalannya, jangan pula sengaja cari jalan jauh. Penyatuan Ummah bukan payah ‘benau’. – MYNEWSHUB


