KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dikurniakan darjah tertinggi Kerajaan Hasyimiah Jordan, ‘The Collar of Hussein Ibn Ali’ oleh Raja Abdullah II Ibn Al Hussein bersempena Lawatan Negara ke Malaysia, hari ini.
Menurut hantaran di media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, istiadat mewasalkan darjah berkenaan disempurnakan di Istana Negara ketika pertemuan kedua-dua Raja bersama delegasi Malaysia dan Jordan.
Darjah ‘The Collar of Hussein Ibn Ali’ diwujudkan melalui titah Diraja Jordan pada 22 Jun 1949 dan dikurniakan kepada Raja-Raja, Ketua-Ketua Negara serta Ketua-Ketua Kerajaan yang diperkenankan Raja Jordan.
Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada Raja Abdullah II sebagai tanda penghormatan dan memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara.
Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Abdullah II di Istana Negara pada pukul 10 pagi disambut mesra Sultan Ibrahim, disusuli Istiadat Sambutan Negara dengan pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta alunan lagu kebangsaan Jordan dan Negaraku.
Raja Abdullah II kemudian menandatangani buku pelawat sebelum delegasi kedua-dua negara dipersembah kenal kepada kedua-dua Raja dan diadakan pertemuan empat mata.
Pertemuan bersama delegasi Malaysia dan Jordan kemudiannya berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara.
Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan supaya hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jordan dapat diperkukuh dengan memanfaatkan persahabatan yang telah terjalin sekian lama.
“Saya harap kita boleh memperkukuhkan hubungan perdagangan antara negara kita, memanfaatkan asas persahabatan sekian lama untuk membina kerjasama ekonomi yang lebih baik dan bermakna demi kebaikan rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia dengan lokasinya yang strategik dan sektor perindustrian yang kian berkembang menawarkan pelbagai peluang menarik untuk pelaburan dari Jordan,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut menyentuh sektor pendidikan, pembangunan kemahiran, ekosistem halal serta minyak sawit sebagai bidang tumpuan utama kerjasama kedua-dua negara.
“Institusi Diraja kita mempunyai sejarah yang panjang dan amat menghargai tradisi yang telah membentuk lipatan sejarah negara masing-masing.
“Walaupun berasaskan latar belakang sejarah dan budaya yang berbeza, kedua-dua Institusi Diraja (Jordan dan Malaysia) berkongsi sebuah legasi mempertahankan warisan negara, institusi masing-masing serta berkhidmat kepada rakyat merentasi generasi,” titah Baginda.
Raja Abdullah II turut diraikan Sultan Ibrahim dalam Majlis Santapan Negara di Dewan Santapan Utama Istana Negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


