KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan segera susulan pendedahan kerugian besar dan kelemahan tadbir urus serius melibatkan UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings)
Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, Koh Ling Xian malah menegaskan tanggungjawab berhubung kerugian dan kelemahan tadbir urus melibatkan UiTM Holdings tidak boleh hanya berhenti pada anak syarikat itu.
Beliau berkata, semua pihak yang terbabit dalam rantaian keputusan, kelulusan, pembayaran dan pemantauan perlu dikenal pasti bagi menentukan pihak yang perlu bertanggungjawab.
‘isu ini tidak boleh lagi dianggap sebagai masalah pentadbiran biasa, selepas UiTM Holdings dilaporkan mencatat kerugian sekitar RM157 juta, selain pendedahan bahawa UiTM menyalurkan hampir RM260 juta kepada entiti komersialnya tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
“RM157 juta bukan jumlah kecil. Apabila syarikat pelaburan milik universiti awam mencatat kerugian begitu besar, rakyat berhak tahu siapa membuat keputusan, siapa memantau, dan siapa mesti bertanggungjawab
“DAPSY menegaskan bahawa tanggungjawab tidak boleh hanya berhenti pada UiTM Holdings. KPT juga perlu menjelaskan peranan Lembaga Pengarah UiTM, pengurusan universiti dan semua pihak berkaitan termasuk kementerian sendiri dalam keputusan-keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ling Xian berkata, DAPSY mendesak KPT segera mengenal pasti dan menggantung tugas sementara semua individu yang terlibat dalam rantaian keputusan berkaitan kes yang sedang disiasat bagi mengelakkan konflik kepentingan atau gangguan terhadap proses siasatan.
“KPT tidak boleh terus berdiam diri. Kementerian perlu segera memaklumkan langkah pembetulan yang telah diambil, memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan mengambil tindakan pentadbiran yang keras terhadap individu yang masih memegang jawatan serta terlibat dalam rantaian keputusan berkaitan,” katanya.
Menurutnya, ketelusan dan tindakan tegas diperlukan bagi memulihkan keyakinan mahasiswa, warga universiti, alumni serta rakyat terhadap tadbir urus universiti awam. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Koh Ling Xian


