CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti aduan orang ramai berhubung akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi dapat diakses.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, kes berkaitan yang diterima turut dikemukakan kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan sewajarnya.
Menurut suruhanjaya itu, pengambilalihan akaun atau account compromise dan penyekatan akaun merupakan dua perkara berbeza.
“Akaun yang telah diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp, dan seterusnya menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna yang terjejas dinasihatkan menggunakan saluran rasmi WhatsApp bagi tujuan pemulihan atau semakan akaun.
Pengguna juga diminta tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan dengan mana-mana pihak, selain mengaktifkan ciri pengesahan dua langkah (Two-Step Verification) serta mengelakkan pautan atau aplikasi mencurigakan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak yang menawarkan perkhidmatan memulihkan akaun dengan meminta bayaran, maklumat peribadi atau kod pengesahan.
Sekiranya masalah masih gagal diselesaikan menerusi saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC untuk tindakan lanjut termasuk mengemukakan kes berkenaan kepada Meta.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau perkara tersebut dan mendapatkan kerjasama platform bagi melindungi kepentingan pengguna. – MYNEWSHUB


