KUALA LUMPUR – Ibu bapa diingatkan supaya tidak ‘menswastakan’ sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru dan pihak sekolah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembentukan peribadi dan karakter anak-anak perlu bermula dari rumah, bukannya diserahkan bulat-bulat kepada institusi pendidikan.
Menurutnya, penggunaan gajet juga tidak seharusnya dijadikan pengganti kepada kasih sayang, perhatian serta komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak.
“Ibu bapa jangan sesekali bermentaliti ‘menswastakan’ tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya kepada guru dan sekolah. Jangan pula gajet dijadikan pengganti kasih sayang, perhatian dan komunikasi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Asyraf Wajdi menegaskan rumah kekal sebagai ‘madrasah pertama’ dalam membentuk keperibadian seseorang anak sebelum mereka menerima pendidikan secara formal di sekolah.
Katanya, karakter anak-anak akhirnya banyak mencerminkan bentuk didikan, teladan serta suasana yang dilihat dan dirasai dalam kehidupan seharian bersama keluarga.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan agama sebagai akar utama dalam membina jati diri serta membentuk generasi yang mempunyai pegangan kukuh.
“Paling utama agama tetap menjadi akar penting pembentukan jati diri anak-anak,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


