GERIK – Seorang anak muda dari Kampung Bandariang, Gerik, Perak yang sanggup bekerja di kilang demi mengumpul wang untuk melanjutkan pengajian ke universiti mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sharifah Farah Farzana hampir terpaksa melepaskan tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Teknousahawanan dengan Kepujian di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akibat kekangan kewangan keluarganya.
Menurut Asyraf Wajdi, beliau menerima mesej daripada Farah beberapa hari lalu selepas gadis itu mendapatkan nombor telefonnya melalui ketua kampung bagi memohon bantuan.
“Saya dapat no datuk ni daripada ketua kampung. Maaf terpaksa mesej Datuk sebab tak ada jalan lain dah saya nak cuba dapatkan bantuan untuk sambung belajar di UTeM!” katanya memetik mesej Farah.
Asyraf Wajdi berkata, bapa Farah bekerja mengambil upah menjaga ladang, manakala ibunya seorang suri rumah.
Demi mengumpul wang untuk membiayai pengajian, Farah sanggup bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.
Katanya, beliau amat terharu dan bangga dengan semangat serta kesungguhan Farah untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.
“Saya tidak mahu kesempitan hidup menjadi penghalang kepada anak muda yang mempunyai cita-cita besar,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau segera menghubungi Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin bagi membincangkan bantuan yang boleh diusahakan oleh pihak universiti.
MARA menerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menghulurkan bantuan wang pendahuluan bagi meringankan beban Farah untuk memulakan pengajiannya.
Asyraf Wajdi berkata, ketika berada di Kampung Bongor, Gerik semalam, beliau turut berkesempatan bertemu kedua-dua ibu bapa Farah bagi menyerahkan sendiri sumbangan kepada mereka.
Beliau turut mendoakan agar urusan Farah dipermudahkan dan kisahnya menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk terus berusaha membina masa depan lebih baik.
“Hanya dengan ilmu boleh merubah pendidikan keluarga,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


