KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai yang kini menyertai PAS, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengingatkan parti-parti yang membawa agenda penyatuan ummah supaya tidak merosakkan usaha berkenaan hanya kerana perebutan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)
Beliau berkata, rundingan mengenai pembahagian kerusi perlu dilakukan dengan penuh akhlak dan persefahaman, termasuk kesediaan bertolak ansur antara parti yang mempunyai kekuatan berbeza.
“Perbezaan boleh dibincangkan. Kerusi boleh dirunding. Yang penting, jangan sampai perselisihan sesama sendiri merugikan semua pihak,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Muqharabbin turut mengingatkan pemimpin parti supaya tidak terlalu yakin mampu bergerak secara solo atau masing-masing mahu menjadi calon tanpa mengambil kira realiti sokongan pengundi.
“Jangan sembang lebat, semua nak jadi calon dan yakin menang kalau ‘go solo’… akhirnya semua kalah dan hilang deposit 548!” katanya.
Menurut beliau, politik bukan sekadar soal siapa mahu menjadi calon, sebaliknya kemampuan seseorang pemimpin untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat.
Mengulas landskap politik Melaka, Muqharabbin berpandangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai kekuatan di negeri berkenaan.
Katanya, penerimaan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga dilihat semakin berubah berbanding sebelum ini, selain dibantu barisan pemimpin negeri yang turun padang dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Beliau menyebut antaranya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta beberapa pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menurutnya memainkan peranan dalam memperkukuh pentadbiran negeri dan melaksanakan manifesto.
Muqharabbin berkata, keadaan sama boleh dilihat menerusi kekuatan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menurutnya turut bergantung kepada prestasi pemimpin di lapangan.
“Kekuatan sesebuah parti bukan sekadar pada nama atau slogan, tetapi turut bergantung kepada pemimpin yang turun bekerja, mendepani isu rakyat dan berani memikul tanggungjawab,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Muqharabbin Mokhtarrudin


