KALAU benar UMNO dan PAS mahu menghidupkan kembali penyatuan ummah buatlah betul-betul.
Bercakap soal penyatuan tapi macam-macam cekadaknya. Banyak perbedaan dan banyak sangat songel nak diambil kira.
Akhirnya orang Melayu naik keliru ini betul-betul penyatuan ummah atau sekadar sebuah slogan politik dengan kepura-puraan.
Orang Melayu bukan tidak faham politik. Mereka sudah lihat terlalu banyak episod sebelum dan selepas pilihan raya.
Jadi kalau mahu diyakini kali ini perlu buat betul-betul. Buang ego dan ketepikan kepentingan politik sendiri.
Utamakan kepentingan ummah dalam mencapai kesepakatan berbanding kepentingan sendiri.
UMNO ada kekuatannya, PAS juga ada kekuatannya. Cari titik pertemuan. Barulah orang Melayu yakin ada hala tuju yang jelas.
Ini tidak. Bercakap soal penyatuan ummah, tetapi sudah mula memekak berapa kerusi masing-masing mahu bertanding.
Kerusi ini aku punya, kau jangan masuk. Kerusi kau pula aku rasa aku boleh menang, jadi aku mahu masuk.
Akhirnya bertembung sesama sendiri. Apa benda lah.. Penyatuan apa macam ini? Bikin malu.
Mudah sahaja sebenarnya maksud penyatuan ummah. Carilah sebanyak mungkin persamaan dan uruskan perbezaan dengan kompromi.
Kalau semua mahu menang seorang diri, itu bukan penyatuan tapi pertandingan. ‘Tong-tong’ adalah kunci kata kepada penyatuan.
Sebab itu UMNO dan PAS perlu segera mencari satu formula rasmi mengenai pembahagian kerusi dari sekarang.
Formula itu mestilah ‘win-win’ dengan mengambil kira kepentingan ummah walau kiraannya ada yang perlu beralah.
Orang Melayu sudah lama mendengar cerita mengenai penyatuan ummah. Mereka pernah melihatnya berlaku dan berakhir.
Jadi kali ini jangan kecewakan mereka lagi. Kalau mahu penyatuan ummah menyatulah dengan ikhlas dan jelas.
Cari formula rasmi, tetapkan hala tuju dan buktikan melalui tindakan. Jangan penyatuan ummah akhirnya tinggal perkataan. – MYNEWSHUB


